Biarpun sekadar majlis meraikan ulang tahun KPTD, Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja, Jeneral Datuk Mohd. Nasser Murad menyifatkan majlis ini diibaratkan ‘bagai sirih pulang ke gagang’ kerana dapat mengumpulkan semua bekas polis tentera sejak penubuhan kor itu.

“Majlis ini menjadi acara wajib bagi semua warga polis tentera sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang sudah bersara. Apa yang penting, kita dapat mengumpulkan semula keluarga besar KPTD dalam mengeratkan hubungan di antara kami semua.

“Sememangnya majlis ini tidak memerlukan jemputan istimewa daripada semua ahli kerana mereka sudah tahu dan sebati dalam diri mereka masing-masing berkenaan dengan tarikh sambutan ulang tahun seperti pada hari ini. Mereka yang berkesempatan akan hadir untuk memeriahkan acara selain berkumpul dengan sahabat sejawat yang lain,” katanya semasa berucap dalam majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun KPTD ke-61 di Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nasser turut mengimbas kembali penubuhan KPTD pada 12 November 1953 yang hanya dipelopori oleh sembilan orang anak Melayu.

“Sehingga sekarang, usia KPTD sudah menjangkau 61 tahun sejak penubuhannya. Kini, KPTD mempunyai keanggotaan seramai 194 pegawai dan 3,785 lain-lain pangkat yang berkhidmat di pasukan-pasukan, memberi khidmat kepada semua formasi tentera darat dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara,” katanya.

Sesungguhnya kata beliau, sumbangan warga KPTD amat besar bukan sahaja kepada negara, bahkan KPTD mampu bergerak ke peringkat dunia.

“Ini dapat dibuktikan dengan penglibatan anggota KPTD dalam tugas-tugas dalam dan luar negara. Februari tahun lalu, negara dikejutkan dengan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Sabah. Ekoran daripada itu, anggota KPTD juga terlibat secara aktif dalam Operasi Daulat sebagai elemen bantuan tempur.

“Operasi ini telah memberi pengalaman baharu kepada kita dalam membanteras ancaman pengganas. Kini, KPTD menabur jasa dengan melibatkan dalam Operasi Sanggah bagi menghalang musuh-musuh negara menceroboh bumi Malaysia yang dianggotai seramai 18 pegawai dan 166 anggota lain-lain pangkat.

“Di peringkat luar pula, KPTD terlibat dengan aktiviti pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membabitkan sebanyak 43 pegawai dan 355 anggota lain-lain pangkat sebagai duta Malaysia bagi membantu sebahagian pasukan pengaman seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Nasser berkata, KPTD terus komited untuk menjaga keamanan sejagat menerusi konsep proaktif, selektif dan kepolisan berorientasikan perkhidmatan yang diguna pakai untuk mendepani cabaran tugas sebagai penguatkuasaan.

“Kami akan menetapkan supaya semua pemerintah KPTD di medan segera menyiapkan profil kawasan tanggungjawab masing-masing untuk dijadikan rujukan utama dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan secara proaktif dan selektif secara berkesan.

“Semua pendekatan ini perlu dilaksanakan supaya kehadiran kita sebagai agensi penguatkuasaan dalam tentera darat dan ATM dirasai dan benar-benar membantu pemerintah setempat dalam menangani serta membendung masalah disiplin di kalangan anggota,” katanya.