Jelasnya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu menampung keperluan pusat tahfiz di Kampung Keramat, di sini yang terbakar pada 14 September lalu dan mengakibatkan 21 pelajar dan dua warden maut.

“Pembida tertinggi (sarung tangan Azizul) adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bernilai RM5,000. Selain itu, terdapat sumbangan rakan kenalan dan penaja yang saya serahkan.

“Jumlah disumbangkan bukan menjadi persoalan, tapi apa yang lebih penting adalah peranan dan kesedaran kita dalam membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya harap dengan bantuan kecil ini dapat meringankan beban tenaga pengajar dan anak-anak tahfiz ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada pengetua pusat tahfiz berkenaan, Mohd. Zahid Mahmood di sini hari ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu melelong sepasang sarung tangan basikal jenama 5Bling edisi Rio 2016, yang digunakan ketika meraih pingat gangsa acara keirin dalam Sukan Olimpik tahun lepas.

Sarung tangan tersebut juga telah ditandatangani oleh Azizulhasni. Sebelum ini, pelumba sensasi itu pernah melelong sarung tangan ‘Save Gaza’ yang digunakannya semasa Sukan Komanwel 2014, dengan hasil­nya disalurkan ke Gaza.

Sementara itu, Mohd. Zahid berkata, dia berbesar hati menerima kunjungan yang tidak disangka daripada seorang atlet bertaraf dunia.

“Ketika berbual tadi, dia (Azizulhasni) berkongsi kesedihan sebab dia pun ada anak kecil... rasa keperitan apabila membaca perkembangan berita (kebakaran) ini,” katanya.