Nur Hidayah, 23, berkata, beberapa minggu sebelum ayahnya, Azlan Mat Din, 50, meninggal dunia akibat demam denggi pada bulan lalu, dia mendengar perbualan bersama ibunya, Normah Amirudin, 46, tentang perkara itu.

Pelajar jurusan Diploma Multimedia di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Ipoh itu berkata, dia dan adik-adiknya masih terkejut de­ngan kehilangan kedua-dua ibu bapanya yang hanya berselang sehari kerana demam denggi.

“Saya dengar ibu dan ayah cakap sewaktu senja banyak nya­muk. Tidak sangka mereka dijang­kiti denggi tidak lama selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pe­ngerusi KPTM, Datuk Ahmad Naz­lan Idris, di sini semalam.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan tiga beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat demam denggi dalam tempoh selang sehari ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Nur Hidayah yang kini berada pada semester akhir pengajiannya berkata, dia kini mengambil alih peranan sebagai ibu dan bapa untuk menjaga kedua adiknya, Muhammad Firdaus, 14, dan Muhammad Ami­rul, 17.

“Saya perlu berfikiran postif dan kuat semangat. Melalui sumbangan yang diberikan pelbagai pihak, dapat membantu kami meneruskan kehidupan dan saya juga mahu sambung pengajian ke peringkat ijazah selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Nazlan berkata, penyerahan sumbangan RM5,000 hari ini merupakan susulan derma daripada penuntut KPTM selepas kejadian yang menimpa Nur Hidayah.