Kini, Fakhrul Radzi Abd. Halim, 21, yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Angah’ oleh keluarga­nya hanya mampu berbaring akibat penyakit misteri serta memerlukan penjagaan sepenuh masa terma-suk urusan makan dan membersih diri di rumahnya di Kampung Binjai Jaya, di sini.

Bapanya, Abd. Halim Muhammed Khairi, 48, berkata, sebelum ini anaknya itu menjalani kehidupan normal dan sihat se­perti kanak kanak lain.

“Sebelum ini, dia bersekolah dan menyertai pelbagai aktiviti sehingga masuk ke peringkat da­erah. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia yang menetap di asrama di sebuah sekolah kebangsaan di sini sering mengadu sakit kepala.

“Ada ketikanya anak saya me-ronta kerana tidak tahan dengan sakit kepala yang dialaminya itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Abd. Halim, ekoran kesakitan yang ditanggung anaknya sebelum ini, dia dan isterinya, Maimon Yahya, 45, membawa anak mereka ke hospital bagi memeriksa kesihatannya.

Bagaimanapun, selepas diperiksa, pegawai perubatan yang bertugas ketika itu memaklumkan Fakhrul Radzi tidak menghidap apa-apa penyakit sehinggalah anaknya itu mengalami demam panas serta tidak sedarkan diri sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang.

“Selepas tiga hari ditahan di HTAR, kami dimaklumkan doktor bahawa Angah masih dalam keadaan tidak sedar dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan koma. Angah berada dalam keadaan koma selama 21 hari,” jelasnya.

Namun, ketika ini Angah kata­nya, tidak lagi mampu bergerak dan memerlukan rawatan fisiote­rapi.

“Anggota badan lain Angah kaku dan tiada tindak balas. Pelbagai alternatif kami diusahakan termasuklah membawanya ke pelbagai tempat untuk rawatan demi melihat Angah berjalan semula seperti sedia kala,” katanya yang ketika ini bergilir-gilir dengan isterinya menjaga Fakhrul Radzi.

Tambah Abd. Halim, kira-kira RM300 sebulan diperlukan hanya untuk membeli lampin dewasa untuk Fakhrul Radzi.

“Saya hanya seorang petani dan dengan pendapatan itulah saya menyara keluarga. Setiap seminggu sekali, saya dan isteri akan membawa Angah berubat tradisional di beberapa tempat sekitar Perak dan Selangor. Kosnya sahaja mencecah RM200 sebulan,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan kepada Fakhrul Radzi boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional 10123-29-00018382-6 atas nama Maimon Yahya atau menghubungi Abd. Halim di talian 019-2991195.