Walaupun setiap kali me­­n­yam­but Hari Raya masih terasa pilu dengan pemergian ibu bapa empat tahun lalu, namun kini dia ber­syukur apabila kesusahan ditanggungnya mendapat pembelaan melalui Program Bantuan Rumah (PBR) daripada Giat Mara Daerah Pekan.

Bagi Noor Rozana, rasa duka terbuku kemas di dada tatkala melihat wajah adik-adik terutama yang bongsu, Mohd. Ibrahim, 9, sekali gus menguatkan sema­ngatnya untuk meneruskan kehidupan.

Noor Rozana berkata, bapa mereka Che Awang Mamat, 44, meninggal dunia berikutan penyakit kencing manis ketika umat Islam baru sahaja seminggu ber­puasa pada 2013.

“Ketika itu saya dan adik kedua, Mohd. Azahari, 20, masih bersekolah dan ibu, Asiah Abdul Jamil, 44, terpaksa bekerja selepas ayah tidak mampu meneruskan kerja sebagai buruh kontrak sebelum meninggal dunia.

“Ibu kami juga bekerja di ladang selepas mendapat rumah serta kerja di Projek Agropolitan Tanjung Batu, Nenasi Pekan namun tidak lama selepas itu dia pula jatuh sakit dan meninggalkan kami pada Disember 2014,” katanya ketika ditemui di Kampung Sekukuh Darat di sini baru-baru ini.

Nasib Noor Rozana dan adik-adiknya mendapat perhatian pe­­mimpin setempat melalui PBR dengan pembinaan rumah bernilai RM40,000 yang didirikan dengan kebenaran di atas tanah milik neneknya itu.

Menurutnya, dugaan selepas kehilangan ibu bapa amat hebat apabila pada usia muda yang masih memerlukan bantuan dan perhatian orang tua, dia perlu memikirkan kehidupan adik-adiknya.

“Selepas tamat pesekolahan, saya berusaha menyara keperluan diri dan adik-adik dengan bekerja sebagai tukang cuci di Kuliah Al-Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar di sini manakala adik lelaki pula membantu menambah pendapatan di bengkel rakannya.

“Kami saling bekerjasama untuk menyara persekolahan adik yang kini masih berada di tahun tiga di Sekolah Kebangsaan Tanjung Agas.

“Namun agak melegakan apabila adik-adik mendapat bantuan dari Perkeso setiap bulan sebanyak RM100, sedikit sebanyak meringankan beban saya yang hanya bergaji RM900 sebulan,” katanya.

Sementara itu katanya, kehilangan ibu yang merupakan tonggak dalam keluarga masih segar di ingatan.

“Bapa saudara, Mahadi Osman, serta nenek, Habsah Sulaiman yang kini berusia 74 tahun, menjadi tempat kami menumpang kasih, memohon tunjuk ajar dan nasihat dalam meneruskan kehidupan ini.

“Kami masih bernasib baik kerana masih ada nenek dan bapa saudara yang prihatin dengan nasib kami dan membantu selagi mereka mampu,” jelasnya.