Noorlela Ismail, 37, berkata, anak lelakinya itu, Muhammad Annas Qhuzairy Zulkifly, 13, kini terpaksa menggunakan lampin pakai buang serta minum susu khas selepas tidak berupaya untuk berjalan mahupun duduk aki­bat kemalangan tersebut.

Katanya, setiap tiga hari dia perlu berbelanja RM20 untuk membeli lampin pakai buang manakala susu khas seberat 800 gram pula berharga RM90 hanya bertahan dua hari sahaja bagi memenuhi keperluan anak sulungnya itu.

“Saya merupakan suri rumah dan sehingga kini, masih belum mempunyai pekerjaan selepas kematian suami akibat kemalangan tersebut.

“Pada masa ini, saya hanya bergantung kepada baki gaji terakhir arwah suami dan bantuan orang ramai,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 28 Mei lalu melaporkan seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Zulkifly Abu Bakar meninggal dunia selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki bersama anak lelakinya terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Syed, Sungai Tiang, Pendang.

Akibat kemalangan itu, Muhammad Annas Qhuzairy terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini sehingga 12 Jun lalu sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya di Kampung Simpang Begia, Jeniang, Sik.

Menurut Noorlela, keadaan anak sulungnya itu ditambah tiga anaknya masih kecil dan bersekolah menyukarkan dia untuk mencari pekerjaan bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.

“Saya berharap ada pihak yang dapat membantu me­ringankan beban perbelanjaan untuk memenuhi ke­perluan anak sulung saya. ” ujarnya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh me­nya­lurkan bantuan ke akaun Maybank milik Noorlela Ismail di nombor 152023640125 atau hubunginya di talian 019-5484841.