Khairil Mansor, 38, berkata, anaknya, Mohd. Amir Muaz, 4, disahkan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan manakala kembarnya, Mohd. Amar Muiz meninggal dunia pada usia lima bulan selepas sedar daripada koma.

Katanya, isterinya, Zamzuria Zainal, 36, melahirkan anak kembar itu pada usia kandungan mencecah tujuh bulan dan sejak itu Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas), Temerloh menjadi 'rumah kedua' mereka.

"Saya mengakui emosi isteri sedikit terganggu bukan disebabkan melahirkan bayi pramatang tetapi tidak sanggup melihat anak kami yang terpaksa menanggung derita berjuang untuk terus hidup.

"Hati ibu mana tidak sayu melihat bayi kembar yang baharu dilahirkan terpaksa bergantung kepada mesin bantuan oksigen untuk bernafas malah lebih mengguris perasaan, bayi kami menangis tanpa mengeluarkan suara," katanya di sini semalam.

Khairil berkata, walaupun Mohd. Amar Muiz sudah kembali ke pangkuan Ilahi, kehidupan mereka terus diuji apabila Mohd. Amir Muaz memerlukan rawatan rutin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Jelasnya, setiap bulan, anaknya itu terpaksa ke HTAA untuk rawatan jantung dan paru-parunya bagi memastikan dia dapat meneruskan hidupnya dengan lebih baik.

"Pendapatan bulanan saya tidak banyak iaitu sekitar RM1,300. Saya ada tiga anak yang masih bersekolah berusia antara lapan tahun hingga 13 tahun. Isteri pula tidak berkerja kerana perlu menjaga Mohd. Amir Muaz.

"Saya merayu kepada orang ramai supaya membantu anak saya mendapatkan rawatan dengan sempurna serta menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak yang lain," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 156012100911 atas nama Khairil atau menghubunginya di talian 017-9726554.