Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anak-anak istimewa tersebut berpeluang untuk memilih sendiri busana raya yang mereka gemari, sekali gus mencetuskan suasana ceria dalam kalangan kanak-kanak itu.

Katanya, kanak-kanak tersebut mungkin tidak berpeluang membeli baju raya baharu sebelum ini berikutan pergolakan yang berlaku di negara mereka.

“Menyedari hakikat itu, pihak kementerian mengambil inisiatif untuk merealisasikan impian kanak-kanak istimewa ini untuk membeli baju baharu yang cantik yang mereka sukai.

“Kita mahu mereka juga merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri di Malaysia, biarpun terdapat perbezaan daripada segi budaya serta makanan,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah Quill City, di sini.

Dalam program tersebut 40 kanak-kanak pelarian Syria terdiri daripada lelaki dan pe­rempuan dalam lingkungan usia tujuh hingga 18 tahun diberi peluang memilih sendiri baju dan kasut raya mengikut cita rasa masing-masing.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan turut memberi perhatian terhadap keperluan pendidikan kanak-kanak pelarian Syria bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran, sekali gus menjamin masa depan mereka.

Sementara itu, Ke­­tua Pegawai Eksekutif Malaysian Life Line For Syria, Shahrir Azfar Salleh berkata, kanak-ka­nak ter­sebut merupakan pelajar Sekolah Jasmine Ash-Sham di Taman Setiawangsa yang dibina khas untuk anak-anak pelari­an Syria.

“Terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana sudi mengajak anak-anak pelarian Syria ini membeli keperluan hari raya yang mungkin sukar mereka dapat di tanah air sendiri.

“Ini merupakan kali pertama anak-anak ini menerima sumbangan dan jelas kelihatan mereka sangat gembira,” ujarnya.

Syahrir Azfar juga memaklumkan bahawa sekolah Jasmine As-Sham menyediakan silibus pembelajaran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus membolehkan anak-anak pelarian Syria tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

“Silibus yang digunakan itu mengikut piawaian pendidikan antarabangsa Britain yang diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.