Muhammad Zulfakar Shahrul Rizal, 22, berkata, bantuan bukan sahaja disalurkan dari segi pertolongan kecemasan, malahan petugas juga memberikan perkhidmatan kepada pesakit kurang berkemampuan yang terlantar di rumah.

“Ada pesakit yang tidak mampu menukar tiub trach (tracheostomy) di hospital setiap minggu. Jadi, kami akan datang ke rumah pesakit bagi membantunya menggantikan tiub yang baharu.

“Bagaimanapun, kebanyakan bantuan diberikan dalam bentuk pertolongan kecemasan terutama dalam kes kemalangan jalan raya. Selain itu, kami juga memberi bantuan kecemasan ketika berlaku kebakaran,” katanya kepada S2.

Sementara itu, seorang lagi paramedik ambulans 10 sen, Mohamad Khairul Imran, 22, berkata, bantuan pertolongan cemas yang disalurkan merupakan inisiatif yang dilakukan Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP) dalam usaha membantu mangsa kemalangan dan pesakit kurang berkemampuan agar mendapat rawatan awal sebelum tiba di hospital.

“Kami memberi respons berdasarkan maklumat atau panggilan yang diterima daripada orang awam. Bukan sekadar bertindak ketika kecemasan, malah kami juga membantu menghantar pesakit yang ada temu janji dengan doktor untuk membuat pemeriksaan, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Dalam situasi yang melibatkan kecederaan teruk, kami akan mengambil pendekatan menggunakan motosikal untuk bergerak ke lokasi bagi menghulurkan bantuan kecemasan dengan segera. Kami juga melakukan rondaan bermotosikal di lokasi panas yang kerap berlaku kemalangan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengurus Operasi Ambulans 10 sen, Khaw Yee Then, 34, sebahagian daripada sukarelawan CP mempunyai ilmu asas dalam pertolongan cemas, sementara sebahagian lagi perlu menjalani latihan bagi meningkatkan pengetahuan mereka.

“Pertolongan cemas merupakan aspek penting yang bukan sahaja dapat mengelakkan kecederaan mangsa kemalangan menjadi lebih teruk, malah boleh menyelamatkan nyawa mangsa.

“Justeru, kami mahu setiap orang mempunyai pengetahuan asas dalam pertolongan cemas kerana ia merupakan bantuan terawal yang boleh dilakukan ketika ketiadaan pakar atau kemudahan perubatan di lokasi kemalangan.

“Salah satu ilmu asas yang mudah tetapi sangat penting ialah teknik bantuan pernafasan (CPR) dan cara menghentikan pendarahan,” katanya.

“Kalau nampak satu kemalangan, adakah kita akan melihat bangsanya terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membantu mangsa?

“Tidak bukan. Itulah sepatutnya yang kita terapkan dalam kehidupan seharian. Membantu orang lain tanpa mengenal kaum,”

Itu antara kata-kata Kuan Chee Heng mengenai keperluan amalan tolong-menolong di antara masyarakat tanpa memandang keturunan.

Beliau yang pernah menjadi bualan hangat netizen selepas beberapa keping gambarnya berbuka puasa bersama sebuah keluarga yang susah menjadi viral di media sosial pada bulan puasa tahun lalu mengakui tidak pernah mengharapkan atau terfikir akan mendapat gelaran Hero Malaya.

Beliau sebaliknya ikhlas dan berbesar hati memberikan bantuan kepada sesiapa jua yang memerlukan. Justeru, tidak hairanlah Chee Heng dilihat begitu aktif melakukan aktiviti kemasyarakatan kerana amalan itu sudah sebati dalam dirinya.

“Kita perlu ingat setiap manusia diciptakan ada sebab dan tujuannya. Manusia ada pelbagai golongan. Ada yang sihat dan tidak sihat. Ada yang mampu dan tidak mampu. Justeru, orang berkemampuan itulah yang seharusnya membantu mereka yang memerlukan.

“Selagi kita masih bernafas, selagi itulah kita perlu menggunakan kesempatan membantu ramai orang tanpa mengira kaum. Lagipun ini adalah ‘bekalan’ untuk hari selepas kematian,” katanya.

Disebabkan minatnya yang begitu mendalam, ahli perniagaan yang juga Pengerusi Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP) itu telah banyak memperkenalkan pelbagai bentuk program bantuan masyarakat.

Salah satunya termasuklah aktiviti yang biasa dilakukan iaitu menyalurkan barangan keperluan asas dan awal persekolahan kepada golongan miskin.

Beliau juga pernah mewujudkan pasar 10 sen bagi membantu golongan kurang berkemampuan memiliki barangan keperluan terpakai yang merupakan sumbangan orang ramai pada harga 10 sen.

Selepas melaksanakan pelbagai program amal, pada penghujung tahun lalu, dia memperkenalkan pula khidmat ambulans 10 sen dan teksi 10 sen dengan harapan dapat membantu pesakit melakukan perjalanan dengan mudah ke hospital.

“Orang susah selalunya tidak mempunyai kemampuan dari segi pengangkutan untuk bergerak ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

“Disebabkan kekurangan ini, kesihatan mereka terus terabai. Justeru, tujuan kita memperkenalkan program ini adalah untuk membantu memudahkan pergerakan mereka ke hospital dan klinik meliputi kawasan Puchong, Kinrara, Bukit Jalil dan Serdang.

“Kita mengenakan caj yang sangat rendah bagi membolehkan mereka mampu menggunakan khidmat teksi untuk tujuan menghadiri temu janji pemeriksaan kesihatan atau ambulans bagi tujuan kecemasan.

“Secara keseluruhan, kami menyediakan tiga kemudahan ambulans dan enam buah teksi,” ujarnya yang mempunya lebih 20 petugas.

Dalam pada itu, pihaknya juga menyediakan khidmat motosikal 10 sen sebagai pengangkutan ulang alik untuk pesakit bergerak dari luar memasuki hospital.