S. Piarapakaran
S. Piarapakaran

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, pihaknya berpendirian teguh bahawa tarif elektrik yang berpatutan dan saksama hanya boleh dicapai melalui sistem pembidaan kompetitif yang adil serta telus.

Katanya, pembinaan loji-loji jana kuasa baharu melalui pembidaan kompetitif adalah janji yang telah dinyatakan dengan jelas dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Menurut beliau, pembatalan anugerah IPP melalui rundingan terus akan menunjukkan satu contoh pelaksanaan dasar yang betul.

“Akan wujud pihak-pihak berkepentingan yang mengetengahkan agenda tersendiri dengan mengatakan bahawa pelabur-pelabur akan risau ekoran tindakan sebegini (pembidaan kompetitif) atas perniagaan.

“Tetapi, pelabur ingin mendapatkan nilai untuk wang pelaburan mereka. Mengapa mereka hendak beroperasi di negara di mana kos elektrik adalah tidak adil akibat kegagalan kerajaan untuk melaksanakan pembidaan yang kompetitif?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. -UTUSAN ONLINE