Antara aktiviti program tersebut, termasuk menyodok salji di rumah orang kurang upaya Shiitake Mura dan melawat dua pusat penjagaan warga emas selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di Hokusei Gakuen Girls High School.

Program sukarelawan yang dikenali SIM-IYEO Sapporo International Volunteering Program 2017 itu mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan dan International Youth Exchange Organization of Japan (IYEO) di bawah naungan Hokkaido International Foundation.

Ketua projek program, Md Johan Sah Puteh berkata, program tersebut memberi pendedahan kepada sukarelawan tentang masyarakat Jepun.

“Saya berharap program sebegini dapat mengubah mentaliti segelintir masyarakat yang memandang aktiviti kesukarelawanan sebagai membosankan.

“Saya percaya bahawa erti hidup terletak pada memberi dan program sebegini dapat membantu masyarakat tidak mengira pangkat, umur, agama, bangsa dan negara untuk sama-sama berganding bahu dalam melakukan sumbangan sosial dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Md Johan Sah lagi, objektif program adalah untuk memperkasa alumni untuk bersama-sama membantu masyarakat serta membangunkan kemahiran insaniah sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan selain membantu sukarelawan menghargai nilai dalam membantu seseorang.

“Kita bukan sahaja mempelajari kemahiran pengurusan tetapi juga dapat mengetahui perkara yang perlu dimiliki untuk berdepan dan menangani sesuatu situasi atau keadaan.

“Sukarelawan bukan sahaja menyediakan peluang untuk kita membabitkan diri dalam menghulurkan bantuan tetapi juga menghidangkan ruang untuk kita melihat sesuatu di luar daripada kebiasaan yang kita alami serta merasai apa yang dilalui orang lain,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE