AZIEANA FARHANA MOHD

Pengumuman kenaikan pangkat Abu Zarin dibuat oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim dan berkuat kuasa serta-merta.

Wan Mohd. Nor berkata, ia sebagai tanda penghargaan JBPM kepada Abu Zarin atas segala jasa dan dedikasi beliau berkhidmat di jabatan tersebut.

“Allahyarham seorang anggota yang berdedikasi dan ko­mited dengan tugas. Ilmu me­ngenai haiwan berbisa ter­utama ular dipelajari dengan inisiatif­nya sendiri dan menjadi rujukan anggota lain.

“Kita berharap dengan kenaikan pangkat, anugerah dan pemberian sum­bangan ini sedi­kit-sebanyak dapat mem­bantu keluarga arwah Abu Zarin,” kata­nya da­lam majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Ja­batan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan 30 tahun di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM ne­geri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin dan Timbalan JBPM negeri, Mohd. Sa­ni Harul.

Anugerah Pingat Kebesaran JBPM dan Anugerah Perkhid­matan Cemerlang serta sumba­­­ng­an RM10,000 daripada kerajaan negeri kepada Allahyarham Abu Zarin, diterima balunya Azieana Farhana Mohd.

Abu Zarin yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, disahkan meninggal dunia pada 16 Mac lalu ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh selepas di­patuk ular tedung selar empat hari sebelum itu.

Dalam pada itu, Azieana memberitahu, dia sudah berulang kali menasihatkan suaminya agar berhenti mengendalikan haiwan berbisa terutama ular, namun beliau enggan.

Setiap kali mengutarakan perkara itu, katanya, Allahyarham suaminya hanya meminta­nya bersabar.

“Arwah memang suka de­ngan haiwan, dia sendiri pun ada memelihara tupai dan musang. Sudah banyak kali saya menasihatkannya agar berhenti mengendalikan ular tetapi dia hanya meminta saya bersabar,” katanya.