Ibunya, Safa Izlinda Mat Saad yang juga jururawat Klinik Desa Kampung Dalam Ru dekat sini, berkata, penyakit itu menyebabkan anaknya, Alif Fikri Zalehuddin, 9, tidak mampu berjalan atau duduk secara normal.

Menurutnya, Alif memerlukan bantuan keluarga kerana kepala­nya memerlukan sokongan khusus dan tidak boleh bercakap setelah lehernya terpaksa ditebuk bagi membolehkan dia bernafas de­ngan lebih selesa.

“Pada peringkat permulaan, tiada sebarang tanda awal serangan penyakit itu dikesan namun Alif mendakwa sering pening kepala secara berpanjangan sehingga mukanya kelihatan herot secara tiba-tiba.

“Dia kemudiannya dirujuk kepada pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan doktor mengesyorkan supaya pembedahan saraf tunjang dilakukan, namun kami sekeluarga tidak membenarkannya disebabkan tiada sebarang jaminan untuk anak saya pulih seperti sedia kala,” katanya.

Dia ditemui ketika menerima kunjungan Guru Besar SK Cherang Ruku, Wan Abdul Aziz Wan Noh bersama barisan guru penolong kanan sempena Program Penyayang yang memfokuskan kepada ziarah ke rumah murid yang menghidapi penyakit kronik di rumahnya di sini baru-baru ini.

Safa Izlinda berkata, dia kini mengambil cuti selama tiga bulan untuk menjaga anaknya itu yang bukan sahaja memerlukan bantuan fizikal tetapi juga sokongan moral untuk menguatkan semangatnya.

“Pakar memberitahu penyakit yang menimpa Alif adalah kes pertama ditemui di negeri ini. Saya reda dengan dugaan ini akan terus berikhtiar menguba­tinya dan berdoa agar segala usa­ha dipermudahkan bagi membolehkannya pulih dalam kadar yang segera," katanya.

Sementara itu, Wan Abdul Aziz berkata, sudah menjadi tradisi pihaknya mengadakan lawatan ke rumah murid selepas menerima maklumat daripada guru kelas mengenai peratus murid yang gagal hadir ke sekolah sebagaimana yang direkodkan.

“Kami mendoakan agar pe­nyakitnya sembuh dan dapat mengikuti pembelajaran di sekolah sebagaimana sebelum­nya,” katanya.