Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Dr. Zubir Harun berkata, sumbangan pek makanan yang diberikan itu antara lain bertujuan untuk memastikan golongan musafir dapat berbuka puasa dalam perjalanan pulang ke destinasi masing-masing.

"Menerusi program ini, AIM memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi 5,000 pek makanan yang akan diedarkan selama dua hari di lokasi yang sama.

"Ini merupakan satu agihan besar kepada para musafir di sini kerana kita faham ada dalam kalangan mereka ini bukan golongan senang lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang sedang kritikal ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan agihan sumbangan pek makanan di Ruang Legar Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan AIM, Yaacob Omar.

Katanya, agihan sumbangan pek makanan tersebut meliputi air mineral, air kotak, roti dan kurma sebagai juadah berbuka puasa kepada pengguna pengangkutan awam dan juga kakitangan TBS yang bekerja di kawasan ruang legar berkenaan. - UTUSAN ONLINE