Muslipah Kosni, 62, melahirkan rasa gembira apabila Timbalan Perdana Menteri itu sudi singgah ke rumahnya di Kampung Teluk Kerdu di sini pada kira-kira pukul 1.30 petang selepas melancarkan Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk.

Selain berpelukan, Ahmad Zahid juga dilihat sebak dan terkejut melihat keadaan sahabatnya dikenali sejak menyertai Pemuda UMNO pada tahun 1980-an itu yang kini berkerusi roda akibat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu.

Ahmad Zahid yang meluangkan masa lebih 3O minit di rumah sahabatnya itu turut bertanya khabar, berbual serta bermesra dengan anak dan cucu Baharom dan Muslipah.

Menurut Muslipah, suaminya itu telah diserang angin ahmar sebaik pulang dari menghadiri maj­lis kenduri saudara mereka pada pertengahan tahun 2014.

“Lepas itu, dia hanya terlantar kerana bahagian kanan badannya tidak boleh bergerak. Minum pun terpaksa menggunakan tiub kerana dia tidak boleh menelan.

“Bagaimanapun, keadaan suami semakin baik sejak enam bulan lalu. Namun masih tidak boleh bertutur dengan lancar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Tambah Muslipah, Ahmad Zahid turut memaklumkan kepada suaminya bahawa beliau akan membantu mendapatkan rawatan yang terbaik untuknya selepas ini.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid yang sudi melawat suami dan kami sekeluarga meskipun sibuk dengan tugas hariannya.

“Terubat rindu suami saya (Baharom) kepada beliau kerana telah hampir empat tahun tidak bertemu,” katanya.

Selain melawat Baharom, Ahmad Zahid turut meluangkan masa melawat rakan yang dikenalinya lebih 30 tahun lalu, Maruci Noor, 50, di Kampung Kebun Baru dekat sini.

Ahmad Zahid turut meluangkan masa lebih 30 minit dengan makan tengah hari bersama keluarga Maruci dan penduduk kampung.