Majlis tersebut turut mendapat sokongan empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Jabatan Pertanian negeri yang menyumbangkan buah kurma, mempelam harumanis, mangkuk kaca serta beras pulut yang diagihkan kepada setiap ahli kelab media berkenaan.

Wakil rakyat itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad; ADUN Pauh, Rozieana Ahmad dan ADUN Titi Tinggi, Teh Chai Ann.

Presiden Kemps, Sharilfuddin Saari berkata, majlis yang berlangsung dalam suasana serba sederhana itu dihadiri hampir semua ahli kelab meskipun dalam kalangan mereka sibuk dengan tugas harian.

Katanya, majlis tersebut juga menjadi platform terbaik dalam mengeratkan hubungan sesama ahli kelab dan wakil rakyat.

“Saya harap kerjasama dengan pelbagai pihak ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya yang juga Ketua Biro Utusan Malaysia Perlis.

Tambah Sharilfuddin, majlis yang diadakan itu adalah sebahagian daripada aktiviti kelab yang diatur sepanjang tahun ini.

“Dalam masa terdekat ini, Kemps akan menganjurkan majlis Hari Raya Aidilfitri dan hari keluarga bagi meraikan para pengamal media dan seluruh ahli keluarga mereka.

“Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli kelab yang hadir pada majlis ini selain memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE