Program tersebut merupakan platform bagi MBSA memupuk kesedaran dan pada masa sama berganding bahu bersama komuniti setempat untuk memerangi wabak denggi yang semakin menular.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kira-kira 200 penduduk mengambi bahagian dalam program berkenaan.

“Penganjuran program ini bertujuan mencari dan memusnahkan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar perumahan terutamanya di halaman rumah dan lorong belakang. Penduduk dibahagikan mengikut kumpulan untuk menjalankan aktiviti pencarian kawasan-kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Selain memusnahkan kawasan-kawasan pembiakan nyamuk, MBSA turut memberikan secara percuma abate dan penyembur aerosol kepada para penduduk. Ini merupakan inisiatif MBSA untuk mengelakkan pembiakan baharu nyamuk di kawasan-kawasan sekitar,” katanya di sini, hari ini.

Program gotong royong tersebut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3, Haron Aminar Rashid.

Shahrin berkata, dari awal tahun sehingga Julai lalu, pihaknya telah mengadakan aktiviti pemeriksaan terhadap 10,025 premis di sekitar bandar raya ini termasuk kediaman, kedai dan restoran serta aktiviti semburan atau fogging di 362,342 premis dan mengeluarkan sebanyak 167 kompaun atas kesalahan membiak jentik-jentik aedes.

Katanya lagi, selain itu, MBSA juga melaksanakan aktiviti pendidikan dengan mengedarkan sebanyak 26,948 risalah dan 3.373 poster mengenai demam denggi.

“Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 3,766 kes demam denggi dilaporkan di kawasan pentadbiran MBSA. Justeru, untuk mengelak pembiakan nyamuk aedes, beberapa langkah pencegahan boleh diambil seperti berikut iaitu menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan luar rumah dan memastikan tangki air, kolah dan pasu bunga tidak membiak jentik-jentik aedes.

“Orang ramai juga boleh meletak ubat pembunuh jentik-jentik ke dalam bekas-bekas yang boleh menampung air seperti tangki air, kolah, pasu bunga dan sebagainya. Hapuskan tempat-tempat longgokan sampah seperti tin kosong, botol, tayar buruk dan lain-lain bekas yang boleh menakung air,” ujarnya.

Beliau menambah, orang ramai juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital jika mengesyaki dijangkiti demam denggi dengan tanda-tanda dan simptom seperti demam kuat secara tiba-tiba, sakit kepala teruk, sakit sendi dan otot, sakit pada bahagian belakang biji mata, ruam dan pendarahan pada badan,hidung dan mulut. - UTUSAN ONLINE