SAZALI YATIM menunjukkan salinan sijil kelahiran Muhammad Ady Putra yang tercatat taraf sebagai bukan warganegara di Tangkak, Johor, semalam.

Masalah berkenaan timbul setelah Muhammad Ady Putra Abdullah yang ketika itu hanya berusia dua hari diserahkan kepada pasa­ngan Sazali Yatim, 49, dan Nor Lailir Wati Md. Noh, 49, pada tahun 2012.

Menurut Sazali, anak angkatnya itu diserahkan oleh ibu kandung­nya, Susi Bunga Ria yang merupakan seorang warganegara Indonesia tanpa sebarang dokumen, manakala bapa kanak-kanak itu dikenali sebagai Oza Mahbob adalah rakyat negara ini.

“Ketika mengambil Muhammad Ady Putra, kami dimaklumkan bapanya akan menguruskan segala dokumen berkaitan, termasuk sijil kelahiran dalam tempoh beberapa hari, namun ia tidak dilakukan sehingga kanak-kanak itu mencecah usia setahun,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sazali berkata, setahun selepas itu, dia dan isterinya berusaha menjejaki semula ibu kanak-kanak ber­kenaan bagi menguruskan sijil kelahiran demi menjamin masa depan Muhammad Ady Putra.

“Kami berjaya menemuinya kerana dia masih menggunakan nombor telefon sama ketika itu. Justeru, sijil kelahiran Muhammad Ady Putra dapat disiapkan, namun kami dapati maklumat sijil kelahirannya telah tercatat taraf sebagai bukan warganegara.

“Dengan status itu amat sukar untuk Muhammad Ady Putra mengikuti sesi persekolahan se­perti kanak-kanak lain kecuali kami mempunyai dokumen pengambilan anak angkat yang diakui oleh ibunya sendiri,” katanya.

Malangnya, kata peniaga itu, mereka terputus hubungan dengan Susi Bunga Ria sejurus proses sijil kelahiran disiapkan empat tahun lalu, malah usaha mencarinya pernah diiklankan dalam sebuah akhbar tempatan, namun tidak berhasil.

“Kami kini buntu tidak tahu berbuat apa-apa. Selain menjamin pendidikan untuk anak, maklumat pengambilan anak angkat juga penting bagi memudahkan urusan mendapatkan rawatan di hospital dan sebagainya kerana kami tidak mampu menanggung semuanya,” katanya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Sazali berharap sesiapa yang mengenali Susi Bunga Ria segera menghubunginya menerusi 011-12135024 bagi melengkapkan proses pengambilan anak angkat termasuk urusan dokumentasi lain.