NUR ALIA NATASHA
NUR ALIA NATASHA

Nurul Alia Natasha Mohammad, 14, yang merupakan anak keempat dari lapan adik beradik kehilangan ibunya, Che Nor Masayu Che Hussain lima tahun lalu yang meninggal dunia akibat masalah kurang darah.

Ia kemudian disusuli dengan kematian ayahnya pula, Mohammad Sharip dua tahun selepas itu kerana penyakit ketumbuhan dalam mulut.

Sejak itu, Nurul Alia yang mesra dipanggil 'Achik' berkata, dia dan adik beradiknya terpaksa menumpang kasih dengan nenek mereka, Che Fatimah Awang, 59 dan datuk tiri, Ibrahim Salleh, 74.

“Saat sibuk menolong ibu menyediakan juadah berbuka puasa tidak akan saya lupa, saya mula berpuasa penuh sejak berusia sembilan tahun dan tidak pernah menyangka setahun selepas itu ibu meninggal dunia sebelum tiba Ramadan.

“Saya sentiasa ingat pesanan arwah ibu yang meminta saya menjaga adik-adik jika dia tiada lagi di dunia ini lebih-lebih lagi selepas kakak sulung saya yang berusia 21 tahun berkahwin manakala dua abang pula berpindah ke Manek Urai, Kuala Krai kerana bekerja di kilang papan di sana.

"Jadi setiap hari sebelum ke sekolah saya kena menguruskan keperluan empat orang adik yang bersekolah rendah dan tadika kerana nenek dan datuk saya sudah tidak larat, saya sendiri belajar di Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Bunga, Pasir Mas," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran Hospital Pakar KPJ Perdana, di sini hari ini.

Seramai 40 orang anak yatim di bawah Pertubuhan Anak Yatim Miskin Pasir Mas (PAYATIM Pasir Mas) diraikan dan menerima sumbangan duit raya daripada pihak Hospital Pakar KPJ Perdana pada majlis itu.

Pada majlis itu juga, Ketua Pegawai Ekskutif hospital itu, Zawari Abdullah turut menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2017 berjumlah RM 173,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang diwakili pegawai zakat, Ridhwan Abdul Rahman. - UTUSAN ONLINE