GELAGAT kanak-kanak memakai kostum doktor dan jururawat dalam
GELAGAT kanak-kanak memakai kostum doktor dan jururawat dalam sesi
terakhir sempena Program Teddy Bear Hospital MediSZA di Mydin Gong Badak,
Kuala Nerus, Terengganu, kelmarin. –
UTUSAN/ AZLAN BAHRUM

Ia merupakan suatu program pendidikan unik yang mendedah, membiasakan kanak-kanak dalam persekitaran suasana ra­watan dan penjagaan kesihatan di hospital serta klinik dengan lebih mesra secara interaktif dan menyeronokkan.

Langkah itu dapat membantu mengurangkan rasa ketakutan kanak-kanak apabila terpaksa berada di hospital untuk mendapatkan rawatan daripada doktor dan tenaga perubatan lainnya.

Program sehari dengan penglibatan para pelajar perubatan tahun empat dan lima di sebuah pasar raya besar di sini dianjurkan dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Islamic Medical Association of Malaysia Childs and Teens Super Team (IMACAT).

Dekan fakulti berkenaan, Prof, Dr. Nordin Simbak berkata, menerusi program ini, para pelajar Fakulti Perubatan UniSZA akan membuat demonstrasi menggu­nakan peralatan yang biasa doktor gunakan ketika rawatan mo­del patung beruang.

“Mereka (kanak-kanak) bukan sahaja melihat tetapi juga membantu, malah mencuba prosedur dan penggunaan peralatan semasa melakukan rawatan serta pemeriksaan kesihatan.

“Cara ini tentunya sedikit se­banyak membantu ibu bapa me­ngurangkan kesulitan dengan karenah anak-anak semasa dibawa ke klinik atau hospital,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.

Sementara itu, pengarah program, Nur Farahain Mustafa, 22, ketika ditemui berkata, kira-kira 150 peserta termasuk ibu bapa dan kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun terlibat dalam program itu.

“Sebanyak sembilan seksyen diadakan bagi mendedahkan kepada kanak-kanak fungsi stetoskop, termometer, bagaimana makan ubat, teknik memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), penggunaan berus gigi dan penjagaan gigi, pemakanan seimbang serta pengamalan gaya hidup yang sihat,” katanya.