Wan Norrizati Megat Shuib bekerja di sebuah kilang di Perai dekat sini dengan pendapatan bulanan RM1,000 selepas ayah­nya, Megat Shuib Ahmad mening­gal dunia lima tahun lalu.

Beban ditanggung Wan Norrizati bertambah apabila ibunya, Sakina Othman yang menjadi tempatnya bergantung menghembuskan nafas terakhir awal bulan ini disebabkan barah payudara dan pangkal rahim tahap empat.

“Dugaan datang bertimpa-timpa tetapi saya sudah biasakan diri sejak kematian ayah. Dari awal pagi saya perlu menyediakan makanan untuk adik dan ibu yang menderita kesakitan sehinggalah ibu meninggal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Norrizati berkata, pendapatan hasil kerjanya digunakan untuk membayar sewa rumah dan pelbagai bil kira-kira RM450 serta untuk membeli makanan dan kelengkapan bulanan.

Biarpun begitu, gadis bertubuh kecil itu terus berazam memastikan kedua-dua adiknya, Megat Muhammad Fikti, 12, dan Megat Muhammad Lutfi, 10, memiliki pendidikan sempurna dan tempat berteduh yang selesa.

“Setakat ini saya masih mampu dan berdoa keadaan tidak menjadi lebih teruk sehingga memerlukan saya menjual semua kelengkapan rumah waris ayah dan ibu.

Dalam nada sugul, dia berkata, wang pencen yang ditinggalkan ayahnya juga diharapkan dapat menjamin keselesaan mereka, namun perlu menunggu penama ketiga yang juga rakan karib ayahnya pulang dari luar negara untuk urusan seterusnya.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban tiga beradik itu boleh menyumbang ke akaun CIMB 7620442894 atau menghubungi Wan Norrizati di talian 017-5092758 atau terus ke rumah mereka di alamat 713-C, Blok E, Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.