Karnival selama dua hari itu merupakan anjuran bersama Iskandar Investment Berhad (IIB), Khazanah Nasional Bhd. dan UEM Sunrise Bhd. bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai mencuba pelbagai jenis sukan.

Antara acara yang berlangsung pada hari ini ialah klinik berenang dan selam skuba, persembahan buskers, sesi zumba, pertandingan fotografi, tayangan filem Ola Bola, pertandingan futsal dan ragbi.

Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang karnival dijalankan bagi memastikan para pengunjung terhibur sambil menyaksikan acara-acara sukan, kecergasan dan rekreasi.

“Salah satu daripada objektif penganjuran Iskarnival Aktif pada tahun ini ialah untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba pelbagai jenis sukan seperti e-sports, pertandingan drone, skuba dan wall climbing.

Diharap ia dapat mencetuskan minat justeru menaikkan penglibatan masyarakat tempatan dalam pelbagai aktiviti sukan terutamanya kategori sukan yang baru dan trendy,” katanya.

Selain itu, tambahnya, turut dijalankkan program bukan sukan seperti bazar jalanan yang menyediakan gerai-gerai jualan barangan cenderahati, pakaian dan peralatan sukan, makanan dan minuman, produk berkaitan kesihatan dan banyak lagi.

“Para pengunjung juga boleh berhibur di Konsert Iskarnival Aktif juga akan menampilkan artis–artis popular seperti Zainal Abidin, Joe Flizzow Alleycats dan Cassidy La Creme,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook, Instagram dan laman web www.iskarnival.com. - UTUSAN ONLINE