Bagi Muhammad Zairul Akmal, 14; Nur Zakira Aina, 13; Muhammad Shafiq Irwan, 11; Muhammad Izhar Shafawi, 9, dan Nur Safa Maisa, 7, hasrat untuk ke sekolah terpaksa dilupakan kerana masalah kewangan ekoran pendapatan bapa tidak menentu dan ibu yang baharu dua bulan berhenti kerja.

Selain lima beradik itu, pasa­ngan Azizan Ahmad, 37, dan Noorazliza Azizan, 33, turut memiliki dua lagi anak, Nur Atikah Zulaika, 3, dan Nur Aishah Aqilah, 2.

Menurut anak kedua pasangan itu, Nur Zakira Aina, dia hanya bersekolah sehingga tahun enam namun tidak sempat mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Saya teringin belajar semula tetapi akibat masalah keluarga, saya berhenti sekolah dan membantu ibu menjaga adik-adik di rumah terutama dua orang yang masih kecil.

“Saya tahu memang banyak pelajaran yang tertinggal, namun saya berhasrat kembali bersekolah dan berjanji belajar bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Keluarga itu ditemui ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail yang turun padang meninjau kehidupan mereka bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Selatan (JKM SPS), Pejabat Pendidikan Daerah SPS dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Sementara itu, Noorazliza berkata, dia amat berharap ada pihak yang sanggup membantu anak-anaknya untuk kembali ke sekolah supaya masa depan mereka tidak terabai.

“Sebelum ini mereka pernah bersekolah tetapi atas beberapa sebab seperti pengangkutan serta kewangan, ada di antara mereka diberhentikan sekolah akibat kerap tidak hadir.

“Anak kelima saya Nur Safa Maisa juga tidak mendaftar untuk ke tahun satu sebab masalah kewangan yang meruncing selain suami yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu," ujarnya.

Dalam pada itu Mohd. Norhiesam menjelaskan, pihaknya pernah membantu anak-anak itu sebelum ini termasuk menyediakan bantuan pakaian seragam sekolah, namun akibat beberapa masalah mereka terpaksa berhenti sekolah.

Namun katanya, dengan bantuan beberapa agensi, beliau berharap kanak-kanak itu dapat mula bersekolah kembali selewat-lewatnya minggu hadapan.

“Saya akan menyelaraskan bantuan kepada mereka termasuk melalui ZPP selain JKM juga akan membantu menyalurkan bantuan bulanan untuk anak-anak ini serta PPD yang akan membantu penempatan mereka di sekolah," katanya.