Pengagihan bantuan itu yang disalurkan terus ke rumah penduduk kampung dianjurkan bersama oleh Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Batu Sapi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsuddin berkata, sumbangan daripada kerajaan itu diharapkan dapat meringankan beban rakyat terutama golongan miskin tegar dalam kawasan Sekong.

“Selain itu, kerajaan juga akan membaik pulih sebanyak 70 buah rumah dalam kawasan ini menerusi Program Baik Pulih rumah bernilai RM10,000 bagi setiap rumah.

“Inisiatif membaiki rumah masyarakat itu dilaksanakan bagi memberi keselesaan kepada penduduk yang mendiami rumah usang selain tidak mempunyai peruntukan untuk membaiki rumah,” katanya semasa program itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sekong, Zantapha Zainal Abidin; Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Sapi, Mohd. Azmi Jamal; Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian, Khatijah Ebrahim serta kakitangan Unit PPM Sekong.

Terdahulu, Samsuddin meninjau pembinaan masjid baharu di Kampung Pulau Shanghai yang telah disiap dibina menerusi projek khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bernilai setengah juta pada tahun ini.

Dalam pada itu, Samsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi turut menasihati penduduk agar tidak menerima kehadiran pihak pembangkang yang cuba memenangi hati rakyat.
 
Katanya, kehadiran pembangkang dengan pelbagai propaganda hanya untuk meraih sokongan selain menabur pelbagai janji palsu yang tidak pernah ditunaikan.