Lebih memilukan apabila melihat anak kecil itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan akibat masalah paru-paru yang kronik. Namun, si kecil itu terus berjuang meneruskan kehidupan walau terpaksa menahan kesengsaraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata sejak usianya sembilan bulan lagi.

Dia seakan-akan tahu bahawa dia perlu kuat demi ibu bapanya, Rosilawati Awang Jarah, 34, dan Saiful Nizam Zakaria, 38.

Muhammad Syafik Fitri Saiful Nizam kini sudah berusia 4 tahun. Walaupun pada zahirnya kelihatan ceria, keadaan dirinya tidak seperti kanak-kanak seusia kerana pergerakan yang agak terbatas.

Dia mudah berasa penat dan perlu memakai topeng pernafasan sepanjang masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Mengimbas cerita ketika anak bongsu itu mula diduga dengan ujian tersebut, Rosilawati berkata, Muhammad Syafik atau dipanggil Adik, kerap mengalami batuk dan doktor hanya mengatakan faktor cuaca yang sejuk menyebabkan bayi mudah batuk.

“Satu malam, ketika saya masih lagi dalam syif bekerja, pengasuh menelefon mengatakan Adik batuk tidak henti-henti. Saya meminta pengasuh membawa dia ke hospital.

“Waktu itu naluri keibuan saya amat mengharapkan tidak ada apa-apa yang buruk menimpa anak saya, walaupun jauh di sudut hati terdetik kemungkinan ada sesuatu yang tidak kena.

“Apabila sampai ke hospital, anak saya dimasukkan ke bahagian kecemasan dan doktor mengatakan anak saya sudah tenat dan perlu dipindahkan ke hospital kerajaan kerana ketiadaan pakar. Luluh hati saya mendengar kata doktor.

“Mujurlah bantuan awal diberikan kepada Adik. Dia melalui proses intubation selama dua minggu sebelum dimasukkan Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga bulan,” katanya ketika dihubungi di kediamannya di Kampung Pasir Puteh, Rantau Panjang, Kelantan, baru-baru ini.

Sejak itu, bermula episod baharu kehidupan tiga beranak ini yang terpaksa keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan. Bahkan, hospital menjadi rumah kedua bagi pasangan suami isteri itu.

Pada awalnya mereka sekeluarga tinggal di Klang, Selangor, namun disebabkan penyakit anaknya itu, Rosilawati mengambil keputusan untuk berhenti bekerja sebagai kerani.

Bersama suami, mereka sepakat berpindah pulang ke kampung keluarga Rosilawati, di Kelantan bagi memudahkan urusan penjagaan Muhammad Syafik Fitri.

Di kampung, sekurang-kurangnya ada ahli keluarga untuk bergantung harap.

Pada tahun 2014, keadaan Muhammad Syafik Fitri semakin stabil dan kesihatan paru-parunya semakin baik, namun sangkanya panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Kelegaan tersebut terbantut apabila keadaan kesihatan Syafik kembali teruk akibat sering terkena jangkitan adinovirus.

“Pada Disember tahun lalu, doktor mengesahkan paru-paru Adik 100 peratus tidak berfungsi dan seumur hidupnya perlu bergantung penuh pada mesin pernafasan BiPAP (Bilevel Positive Airway Pressure).

“Dua minggu pertama Adik memakai mesin tersebut, hari-hari dia menangis kerana tidak boleh menelan makanan dan berasa tidak selesa. Saya hanya memberinya susu untuk memberi tenaga kepadanya.

“Pilu hati saya apabila dia berkata, ‘Adik tak boleh nak makan dah umi’. Namun, saya tidak mempunyai pilihan kerana mesin itu sahaja yang mampu membantunya untuk bernafas,” katanya yang turut mempunyai dua anak lain berusia 10 tahun dan 6 tahun.

Kini genap setahun, Adik memakai mesin BiPAP yang disumbangkan oleh tabung bantuan kebajikan hospital yang berharga RM40,000.

Dia sudah makan seperti biasa, namun perlu bergantung dengan susu khas untuk memberi tenaga tambahan kepadanya.

Ujar Rosilawati, keadaan ekonomi keluarganya tidak begitu baik kerana suami hanya bekerja sebagai pemandu lori.

Mereka perlu membelanjakan kira-kira RM1,000 sebulan untuk membeli keperluan Adik, seperti susu khas, penapis mesin BiPAP yang perlu ditukar tiga kali seminggu, dan lampin pakai buang.

Bagi membantu meringankan beban suami, Rosilawati mengambil pendekatan berniaga tudung secara online, yang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan keluarga.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini dengan membeli tudung yang dijual boleh lawati Facebook, Shiela Fiena atau Instagram @shielafiena untuk mengurangkan beban mereka sekeluarga.

  • Bantuan boleh dihulurkan ke akaun
  • Bank Islam 03081020385723 Rosilawati 
Awang Jarah