Menurut bekas Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda itu yang lebih mesra dipanggil Cikgu Ghani, beliau mula menghebahkan mengenai projek sedekah jariah itu di Facebook semalam.

“Dalam status itu, saya menyatakan akan mengisi petrol secara percuma untuk motosikal selepas solat subuh hingga pukul 10 pagi. Tanpa disangka, apabila saya sampai di stesyen minyak itu pada hari ini ramai yang telah beratur lebih awal.

“Seperti sumbangan sebelum ini, sesiapa sahaja penunggang motosikal boleh mengisi minyak dalam tangki hingga penuh tanpa dikenakan sebarang bayaran. Tanpa mengira bangsa atau dari mana, mereka boleh mendapatkan bantuan ini tanpa pilih kasih.

“Hari ini, kira-kira 3,000 datang ke stesen minyak di Tikam Batu ini untuk mendapat petrol percuma yang menelan kos kese­luruhan dianggarkan berjumlah RM12,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, salah seorang penerima, Asniza Osman, 38, berkata, sesiapa sahaja pasti gembira apabila mendapat mengisi minyak petrol percuma sehingga tangki motosikal penuh.

“Bantuan ini sedikit sebanyak mengembirakan saya ekoran kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen bermula hari ini. Walaupun, sumbangan mungkin kecil bagi sesetengah pihak namun sangat bermakna buat kami,” ujarnya.

Bagi Subhi Che Man, 68, pemberian minyak petrol percuma kepada penunggang motosikal kategori untuk orang susah amat dihargai sekali dan diharapkan lebih banyak pihak yang tampil melakukan kebajikan seperti Cikgu Ghani.