Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff berkata, bantuan itu adalah khusus untuk meringankan kos sara hidup masyarakat Orang Asli yang tinggal di pedalaman.

Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, berkata, bantuan BR1M dibayar secara tunai memberi kemudahan kepada penduduk Orang Asli kerana tidak perlu bersusah payah keluar ke bandar.

“Kita mengadakan Program Kembara Rakyat Galas dan Nenggiri selama enam hari untuk mengagihkan bantuan ini dan mendekati masyarakat Orang Asli.

“Antara pos terlibat ialah Pos Tohoi, Pos Simpor, Pos Gob, Pos Pasik, Kuala Wook, Pos Pulat, Kuala Lah, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Hau, Pos Brooke, Pos Hendrop dan Pos Blau,” katanya selepas program tersebut di Pos Simpor, di sini semalam.

Ab. Aziz dan rombongannya mengembara ke perkampungan Orang Asli Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Gob serta beberapa lagi perkampungan lain.

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid.

Ab. Aziz berkata, selain pengagihan BR1M, pelbagai aktiviti diatur menerusi program tersebut seperti pengagihan bantuan barangan keperluan harian dan sukan, aktiviti kebudayaan serta riadah.

Antara agensi kerajaan terlibat dalam kembara itu ialah Jakoa, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukare­lawan Malaysia (Rela), Jabatan Pemba­ngunan Persekutuan (JPP) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Sementara itu, seorang penduduk Pos Gob, Roslan Along, 60, berkata, dia berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang banyak memberi pelbagai bantuan kepada Orang Asli.

Katanya, masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman mendapat pelbagai perkhidmatan dan kemudahan daripada pihak kerajaan walaupun mengalami kesukaran untuk keluar ke bandar Gua Musang.

“Kami berharap bantuan BR1M secara tunai kepada Orang Asli dapat diteruskan pada masa akan datang kerana dapat merapatkan jurang antara masyarakat pedalaman dengan agensi kerajaan yang bertandang ke kampung,” katanya.