Lebih mendukacitakan, tindakan drastik yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan itu dibuat hanya disebabkan kegagalan penghuni melunaskan bayaran sewa RM250 yang cuma tertunggak sebulan.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan PKR Selangor melalui Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) bertindak lebih kejam apabila bukan sahaja menghantar notis pengusiran tetapi melakukan pemotongan bekalan air dan elektrik.

Malah, paling menyedihkan, majoriti penghuni yang bakal diusir itu merupakan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) dan Zakat Se­langor selain telah menetap di PPR tersebut sejak lima tahun lalu.

Salah seorang penduduk, Abdul Halim Simpul, 59, menyifatkan notis pengusiran yang diterima adalah tindakan kejam kerana tunggakan bayaran sehingga 7 Ogos lalu hanya selama sebulan sahaja.

“Tindakan ini hanya menyu­litkan aktiviti harian penghuni. Mengapa kami diperlakukan sebegini? Kenapa aniaya kami sebegini rupa?

“Kami hanya lewat membuat bayaran tiga hari sahaja kerana rata-rata penghuni di sini adalah penerima zakat dan bantuan JKM yang mendapat wang pada setiap 10 hari bulan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Difahamkan, terdapat kira-kira 5,000 penduduk di tiga buah blok melibatkan 960 unit di PPR tersebut dan mereka merupakan penduduk setinggan daripada lima kampung iaitu Rimba Jaya, Kebun Bunga, Kampung Buaya, Kampung Lereng Bukit dan Kampung Rantau Selamat.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Aduan Masyarakat Malaysia, Nazilah Idris men­dakwa, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat seorang penduduk telah dihalau hanya kerana melaporkan kerosakan lif dan takungan air yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes di kawasan PPR itu.

“Adakah ini tindakan yang betul? Sedangkan sebagai rakyat mereka hanya melaporkan apa yang berlaku kerana mahu hidup dalam suasana yang lebih selesa.

“Kita berharap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil menjawab segala perso­alan yang menimpa penduduk ini,” katanya.

Sementara itu, sidang akhbar yang diadakan penduduk bertukar kecoh apabila Pengerusi Persatuan Komuniti PPR Kampung Baharu Hicom, Yahaya Abdul Aziz, yang hadir tidak lama kemudian bertindak meninggikan suara mempersoalkan mengapa isu berkenaan perlu dilaporkan kepada media.

“Sepatutnya masalah ini bo­leh diselesaikan tanpa kehadiran begitu ramai pihak media,” katanya.