Pengasas Ultra Geng KU ADDY FAZLY KU RADEN
 KU ADDY FAZLY KU RADEN

Selepas lebih setahun Geng Ultra ditubuhkan, hari ini Ku Addy Fazly atau lebih mesra dengan panggilan Broku melancarkan Geng Ultra dan sekali gus, memperkenalkan program 12 Purnama untuk memberi bimbingan dan manfaat kepada ahli-ahlinya.

Menurut Broku, seramai 18 orang tenaga pengajar yang bertauliah dalam bidang perniagaan masing-masing bersolidariti dalam memberi tunjuk ajar kepada usahawan dalam talian bagi mengembangkan perniagaan yang diterokai.

Selain ilmu perniagaan dalam talian, ahli-ahli berdaftar Geng Ultra yang terdiri daripada 60 orang turut didedahkan dengan strategi pemasaran dan rangkaian atau networking secara berkesan.

Kata Broku, selepas mengadakan Seminar Bangkit Selepas Jatuh, peserta yang mengikuti seminar tersebut terus mendapat latihan daripada Geng Ultra sehinggalah diujudkan Program 12 Purnama yang mana terdapat tambahan dalam ahli berdaftar seramai 20 hingga 30 orang.

“Dari situ, kita mencipta satu platform yang baharu iaitu Program 12 Purnama dan kita terus melatih mereka yang jatuh dalam perniagaan untuk bangkit semula tetapi tidak tahu bagaimanakah kaedah atau cara untuk memulakan langkah permulaan dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.

“Latihan diberikan setiap hari dan apabila kami kumpulkan 18 orang tenaga pengajar, menerusi 12 Purnama kita sasarkan penambahan ahli sehingga 1,000 orang pada tahun ini,” katanya.

Broku menambah, projek 12 Purnama akan membuat jerayawara satu Malaysia bagi mengumpul dan menghidupkan kembali usahawan dalam talian yang tengah ‘nazak’.

Geng Ultra kata Broku telah melahirkan 1,440 buah video yang dilengkapi dengan ilmu perniagaan dalam talian dan bagi mereka yang mahu mengikuti Program 12 Purnama dikenakan bayaran sebanyak RM2,000.

“Jumlah RM2,000 itu, jika individu berkenaan memperkenalkan kepada Ultra Geng untuk menjadi ahli, maka dia akan beroleh komisyen RM1,000.

“Tidak rugi mendaftar sebagai ahli bahkan banyak manfaat dan ilmu yang ditimba dan saya juga ingin memberitahu bahawa pengisian modul atau gerak kerja yang dirangka dalam 12 Purnama tidak sama seperti yang terdapat di Amerika Syarikat mahupun Australia.

“Jadi, adalah menjadi hasrat kami di Geng Ultra untuk menambah jumlah tenaga pengajar daripada 18 orang dengan 18 tajuk berbeza kepada 50 orang tenaga pengajar pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE