Baru-baru ini ahli lembaga berkenaan mengedarkan 80 kotak limau kepada pesakit dan kaki­tangan HSA yang bertugas pada Tahun Baharu Cina selain menganjurkan jamuan serta pemberian wang tunai kepada pesakit.

Seramai 100 pesakit dilawat dalam program tersebut dengan masing-masing diberikan cende­rahati dan wang tunai sebagai tradisi masyarakat Tionghua meraikan Tahun Baharu Cina.

Pihak ahli lembaga itu juga berjaya mendapatkan 30 kerusi dan meja sumbangan syarikat swasta yang akan digunakan pe­ngurusan HSA untuk menambah keselesaan pesakit dan keluarga.

Pengerusinya, Michael Tay Chee Boon berkata, menerusi pendekatan itu pihaknya berharap dapat mengeratkan hubu­ngan pesakit, keluarga, kakita­ngan hospital dan Ahli Lembaga Pelawat.

“Sebagai orang tengah antara pesakit dan pengurusan HSA, semua 27 ahli bersedia berkhidmat kepada masyarakat bagi meri­ngankan masalah dialami mereka,” katanya ketika ditemui.

Beliau gembira kerana penduduk Johor mempunyai tahap toleransi tinggi serta perpaduan baik yang membolehkan semua kaum menyambut perayaan ma­sing-masing tanpa halangan sejak berpuluh tahun lalu.

“Kami lega kerana di Johor, rakyat menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menekankan konsep Bangsa Johor tanpa mengira kaum dan agama serta saling hormat-menghormati.

“Sebab itulah, kami di Ahli Lembaga Pelawat HSA meraikan semua perayaan bermula Deepa­vali, Krismas dan Tahun Baharu Cina dengan memberikan hamper serta wang tunai kepada pesakit dan kakitangan hospital ini,” katanya.

Menurutnya, sambutan itu bukan saja bertujuan mengeratkan hubungan ahli lembaga dan kakitangan malah memberi sokongan moral kepada pesakit dan keluar­ga yang berada di wad.

Pihaknya sedar pesakit bukan sahaja memerlukan bantuan perubatan malah sokongan moral untuk menguatkan semangat mereka meneruskan hidup selepas menjalani pembedahan atau rawatan.