Suri rumah, Wan Faridah Wan Ibrahim, 52, meluahkan isi hatinya kerana tidak mampu memenuhi kehendak anak-anaknya setiap tahun.

“Suami saya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan bulanan hanya RM650. Lebih membimbangkan kerana dia menghidap masalah saraf dan tidak boleh melakukan kerja berat.

“Anak sulung saya berumur 19 tahun manakala yang bongsu pula berusia tujuh tahun dan menghidap penyakit sindrom down,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Wan Faridah, dia tidak pernah menerima apa-apa bantuan wang ringgit daripada mana-mana pihak.

“Setakat ini saya pernah menerima zakat dalam bentuk beras daripada penduduk kampung serta barang keperluan asas lain.

“Kadang-kadang itu pernah juga terputus sumber bekalan asas kerana tidak mampu membeli barangan di kedai,” luahnya.

Dalam pada itu, Wan Faridah mengucapkan rasa syukur kepada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan Persatuan Pengimport dan Penjual Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang berbesar hati menaja pakaian raya untuk anak bongsunya.

“Alhamdulillah, semalam anak bongsu saya ada menerima bantuan baju raya, namun, empat orang anak lagi masih belum memiliki baju raya baharu.

“Kalau ada duit lebih saya akan cuba memenuhi hasrat mereka yang sudah 10 tahun tidak merasa baju baharu,” jelasnya.

Orang ramai yang berniat menghulurkan sumbangan boleh menghubungi suaminya di talian 017-9269378. –UTUSAN ONLINE