Pengarah Perubatan Bahagian Kesihatan ATM, Mejar Jeneral Datuk Dr. Yaakob Komeng berkata, program dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Pasir Salak itu disertai kira-kira 50 pakar perubatan dari Kor Kesihatan Diraja ATM.

Katanya, selain pemeriksaan kesihatan yang dijalankan hari ini, semalam pihaknya juga telah menjelajah ke 20 buah kampung melibatkan 100 rumah di kasawan parlimen tersebut untuk memberi pemeriksaan saringan kesihatan percuma kepada penduduk terutama warga emas.

“Terima kasih kepada warga Pasir Salak kerana menjemput dan benarkan kami memberi perkhidmatan di sini. Sebenarnya kami telah menjelajah di seluruh negara menerusi program besar yang dinamakan Program Jiwa Murni ‘Tentera Bantu Rakyat Sihat’.

“Kami dapatkan maklumat tentang keperluan kesihatan disatu-satu tempat itu dan bawa segala peralatan kami ke sana khusus­nya buat mereka yang tidak biasa persekitaran klinik dan takut untuk jumpa doktor serta menjalani pemeriksaan sebegini.

“Ada orang berpendapat kalau tak tahu lagi baik sedangkan itu pendapat salah kerana kebanyakkan pe­nyakit boleh dirawat terutama kalau tahu dari awal,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Abdullah Fauzi Ahmad Razali.

Antara pemeriksaan yang dilakukan pada program itu termasuklah, kencing manis, pemeriksaan tekanan darah tinggi, jantung, gigi dan mata.

Yaakob berkata, dalam masa sama, program berkenaan membolehkan pihaknya juga bertemu dengan bekas anggota tentera yang bersara dengan pasukan tersebut supaya dapat dibantu.

“Mereka ini memulakan hidup baharu setelah menamatkan perkhimatan. Kami dapat bertemu dan membantu keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu, pengerusi pengelola program itu, Dr. Faizal Tajuddin berkata, program hari ini menyaksikan penduduk daripada pelbagai peringkat usia datang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat sangat menggalakkan apabila mereka telah berada di kawasan pemeriksaan tersebut sejak awal pagi.

“Program ini merupakan antara program pemeriksaan saringan kesihatan yang terbesar pernah diadakan di negeri ini.

“Alhamdulilah, sambutan sangat hebat daripada rakyat yang menunjukkan mereka sangat menghargai usaha yang dilakukan ATM dalam membantu mereka ini. Walaupun program bermula kira-kira pukul 9 pagi, namun saya melihat mereka mula berbaris di kaunter pemeriksaan sejak pukul 8 pagi lagi,” katanya.