Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Izzaddin Idris dalam satu kenyataan berkata, penerima terdiri daripada 550 pelajar sekolah rendah dan 450 pelajar sekolah menengah itu ialah sebahagian daripada jumlah keseluruhan penerima seramai 15,600 pelajar dari pelbagai kaum di 37 lokasi seluruh negara.

“Bagi tahun 2018, UEM Group melabur lebih RM3.7 juta khusus bagi program ini untuk dimanfaatkan oleh mereka yang menerima dua pasang pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, sarung kaki, beg sekolah dan set alat tulis.

“Permulaan sesi persekolahan baharu sering menguji ibu bapa dari segi kewangan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Kami sedar dan bersimpati dengan situasi kewangan mereka dan berharap agar bantuan ini dapat mengurangkan beban kewangan dan memberi keceriaan serta semangat kepada para pelajar untuk ke sekolah,” ujarnya kenyataan berkenaan.

Tambah beliau, program ini telah bermula sejak tahun 2013 dan sehingga penghujung tahun 2017, ia telah memanfaatkan lebih 55,300 pelajar di seluruh negara yang melibatkan pelaburan syarikat melebihi RM11.7 juta secara keseluruhannya.

Program tersebut telah berlangsung di Kota Belud, Sabah, semalam dan penyampaian kelengkapan persekolahan itu telah disempurnakan oleh Izzaddin sendiri. -UTUSAN ONLINE