Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, antara sasaran tersebut adalah Majlis Pemimpin Muda Johor (JSLC), iaitu organisasi pemimpin pelajar peringkat daerah dan sekolah yang bertujuan memberi akses meluas kepada pelajar negeri ini menggilap bakat kepemimpinan masing-masing.

Beliau berkata,  JSLC yang telah memiliki lapan alumni itu dinamakan sebagai Badan Pemimpin Pelajar (SLB) kini telah mempunyai 276 organisasi di semua sekolah menengah harian seluruh negeri ini.

"Penubuhan JSLC turut menggalakkan murid dan pelajar Johor bangga dengan negeri sehingga apabila mereka keluar bekerja di negeri lain atau luar negara, mereka masih mempunyai semangat untuk pulang dan berkhidmat semula di negeri ini.

"Atas sebab itu, beberapa elemen panduan bagi mencerminkan mereka adalah murid Johor diperkenalkan antaranya cara-cara bersalam, berdoa, jenis uniform dan gaya rambut yang dikenali sebagai Karektor Murid Johor," katanya selepas merasmikan jerayawara tersebut di Padang A, Angsana Mall Johor Bahru, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Harian Kementerian Pendidikan, Aminuddin Adam; Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif dan Pengarah YTL Communications Sdn. Bhd., Shahirul Amran.

Jerayawara yang diadakan sempena Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 itu dihadiri kira-kira 500 guru sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara.- UTUSAN ONLINE.

Tujuh sasaran utama Jerayawara Pendidikan Johor