Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, laporan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dibuat pada 15 Disember lalu.

Katanya, berdasarkan keterangan Wan Saiful, Bersatu negeri menggunakan namanya dalam memalsukan dokumen menyewa dua buah kereta yang digunakan oleh Setiausaha Kerja parti itu.

"Sebuah syarikat sewa kereta meminta pengadu iaitu Wan Saiful menjelaskan mengenai kadar sewaan kereta berjumlah RM188,449 untuk dua buah kereta yang digunakan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Perlis pada pukul 11.30 malam, 8 Disember lalu.

"Pengadu juga menerima pesanan daripada pengurus syarikat terbabit yang mendakwa seseorang telah menggunakan nama Wan Saiful sebagai yang bertanggungjawab bagi menjelaskan pembayaran berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Wan Saiful yang digugurkan daripada Setiausaha Bersatu negeri hari ini mendedahkan mengenai kes pemalsuan dokumen di pejabat parti itu di negeri ini.

Berikutan itu, Wan Saiful juga telah bertindak membuat laporan polis mengenainya dan bertegas tidak akan menarik balik laporan berkenaan.

Tambah Noor Mushar, selain Wan Saiful, individu terbabit turut memalsukan tandatangan Bendahari Agung Bersatu Pusat, Datuk Salleh Bajuri dalam sepucuk surat lain bagi membolehkan dua kereta tersebut disewa.

"Bimbang akan pemalsuan dokumen yang membabitkan dirinya, dia (Wan Saiful) membuat laporan berkenaan. Kes disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar," katanya. - UTUSAN ONLINE