Ketua Polis Daerah Kangar, Superitenden Wari Kiew berkata, orang ramai dinasihati supaya meletakkan kereta di tempat mudah dilihat atau berdekatan dengan pengawal keselamatan jika bertujuan bermalam di HTF.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima satu laporan pada pukul satu tengah hari kelmarin oleh seorang pesara wanita apabila kesemua tayar keretanya dicuri sambil menambah, kereta model Kia Rio milik mangsa diletakkan di kawasan tangki air sebelah HTF pada pukul 11 malam pada 5 September lalu.

"Mangsa (hanya) sedar kejadian itu sebaik sahaja sampai ke keretanya setelah bermalam di HTF atas tujuan melawat dan menjaga pesakit di hospital berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, kerugian dianggarkan bernilai RM1,000 kerana keempat-empat tayar termasuk rim telah hilang.

"Polis sedang menyiasat kes kecurian tayar kereta yang pertama dilapor pada tahun ini dari pelbagai sudut termasuklah unsur khianat," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) kerana kesalahan mencuri. - UTUSAN ONLINE