Mangsa Yap Hui Ping, 25, berkata ketika kejadian kira-kira 12.15 tengah malam itu, dia sedang mengambil barang dalam kereta yang diletakkan di luar pagar sebelum dihampiri sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah van putih.

Menurut Yap, seorang lelaki menunggu di dalam van manakala seorang lagi bertindak mengacukan parang ke arahnya sebelum merampas kunci kereta dan melarikan kenderaan itu.

“Saya panik dan terkejut ketika kejadian, nasib baik saya tidak dicederakan, keadaan gelap saya tidak nampak berapa orang yang betul-betul berada dalam van itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt. Ku Mashriman Ku Mahmood berkata pihaknya telah menerima laporan melibatkan kes berkenaan dan jumlah kerugian dianggarkan RM30,000.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kawasan perumahan dua tingkat berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan dan tiada kamera litar tertutup di kawasan kejiranan serta rumah mangsa.

Katanya, usaha mencari dan mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata. - BERNAMA