Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Deputi Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4 petang ketika sepasukan pegawai dan anggotanya menjalankan sekatan jalan raya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah di sini.

Menurut beliau, menyedari terdapat sekatan jalan raya, lelaki warganegara Myanmar itu yang memandu kereta Proton Saga secara berseorangan bertindak melawan arus dan membuat pusingan 'U' di depan Taman Kelisa.

“Dia kemudiannya bertindak agresif dengan melanggar motosikal ditunggang anggota polis di lampu Isyarat menuju ke Jalan Putra sehingga mengakibatkan anggota tersebut patah pergela­ng­an tangan kanan.

“Suspek tidak langsung memberhentikan kenderaan sebaliknya memecut menuju ke Jalan Gangsa. Dia kemudiannya me­ninggalkan keretanya di tepi jalan lalu masuk ke dalam sebuah pasar raya besar di situ,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.

Menurut Hussin, pergerakan suspek bagaimanapun dikesan oleh anggota­nya yang turut mengekori lelaki itu ke dalam pasar raya terbabit.

“Ketika suspek ditahan, dia ber­tindak agresif sehingga berlaku per­gelutan. Tindakan itu mengakibatkan lelaki tersebut mengalami bengkak di dahi dan lebam di mata sebelah kanan,” katanya.

Beliau menambah, pemeriksaan terhadap beg silang dibawa suspek mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar dan satu keratan tiub straw mengandungi dadah jenis heroin seberat kira-kira 3.88 gram.

“Suspek kemudian dibawa ke kereta Proton Saga terbabit dan pemeriksaan di dalamnya mene­mukan satu kotak minuman di tempat duduk depan sebelah kiri.

“Dalam kotak minuman tersebut ditemukan tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi dadah disyaki heroin seberat kira-kira 327.10 gram,” katanya.

Menurut beliau, ujian air ken­cing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morphin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.