Perkara itu didedahkan oleh dua remaja, yang ditemui oleh pihak berkuasa Thailand di sebuah hutan terpencil dekat kem tersebut yang mendakwa kem tersebut digunakan oleh sindiket terbabit untuk menahan mangsa pemerdagangan manusia.

“Lapan broker mengawal kem itu. Saya kenal tiga daripada mereka bernama Ahmed Ali, Anwar dan Sorim-Ida. Beberapa orang yang lain merupakan penduduk Rohingya dan ada beberapa orang dari Malaysia,” dakwanya.

Kedua-dua remaja berumur 14 dan 17 tahun yang ditemui berdekatan tapak kubur besar di wilayah Songkhla itu, menyatakan mereka ditahan di kem tersebut bersama-sama sekurang-kurangnya 800 yang lain selama lapan bulan dan kem terbabit telah dikosongkan sebelum pihak berkuasa Thailand menyerbunya kelmarin.

Portal Bangkok Post melaporkan penemuan remaja tersebut berlaku ketika laporan awal mendedahkan keadaan teruk yang dialami tahanan di kem tersebut yang terletak di atas bukit, kira-kira 300 meter dari sempadan Malaysia.

Sebelum ini, pihak berkuasa Thailand menemui kubur besar menempatkan berpuluh-puluh mayat yang dikebumikan dalam satu kubur besar di Sadao, Songkhla terletak kira-kira 50 meter dari kem tahanan tersebut.

Setakat ini, pihak berkuasa Thailand telah menemui 26 mayat di kawasan itu dan usaha menggali di kawasan kubur besar itu masih diteruskan, dipercayai digunakan untuk mengebumikan pendatang dari Bangladesh dan penduduk Islam Rohingya yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Seorang daripada mangsa itu, yang dikenali sebagai Anuzar, 28, mendakwa mereka yang ditahan di kem tersebut merupakan tahanan yang tidak boleh membayar wang tebusan.

“Mereka (sindiket) tidak peduli sama ada kami hidup atau mati. Kebanyakan daripada kami dipukul dan didera. Dalam kem itu, kami tidak pernah mendapat makanan dan minuman mencukupi. Kami juga tidak dibenarkan mandi,” dedahnya kepada portal Phuketwan.

Anuzar berkata, dia percaya 10 rakyat Bangladesh merupakan antara mayat yang ditanam di kubur besar itu yang terletak berdekatan kem itu bersama sekurang-kurangnya 30 mayat penduduk etnik Rohingya.

Dalam pada itu, Penasihat Sains Forensik Polis, Jeneral Jaramporn Suramanee berkata, daripada 26 mayat yang ditemui setakat ini di perkuburan besar itu, 25 daripada mereka dikenal pasti sebagai mayat lelaki dan satu mayat wanita.

“Beberapa mayat sudah mereput, menunjukkan mereka sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya sebulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, pakar forensik sudah mengumpul sampel DNA daripada mayat-mayat berkenaan tetapi pada peringkat ini, masih belum dapat mengenal pasti identiti atau etnik mereka.

Deputi Komander Polis Songkhla, Kolonel Triwit Sriprapa berkata, siasatan awal forensik di kawasan kejadian, menunjukkan tiada tanda luka atau cedera pada tulang atau sebarang kecederaan pada mayat terbabit, memungkinkan mereka telah dibunuh dengan kejam.

“Terdapat kemungkinan mereka maut akibat kekurangan makanan atau penyakit,” katanya kepada Reuters.