Tertuduh, Andika Razali, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Nor Hafidzuddin Yusoff.

Peniaga yang berasal dari Acheh itu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara berkenaan bermula tarikh sabitan iaitu Rabu lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barangan larangan import, iaitu 192 paket rokok dari 11 jenama berbeza di bahu jalan, Jalan TK 4/1, Puchong, di sini pukul 7.10 malam, 2 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Khairunnisa Ibrahim meminta hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan sama. - UTUSAN ONLINE