Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Denis Leong Soon Kuai berkata, kesemua suspek iaitu 73 lelaki dan 26 wanita yang ditahan dalam serbuan mulai 23 hingga 29 Julai lalu berusia 16 hingga 63 tahun. 

Menurutnya, serbuan dilakukan di kawasan Kuching, Padawan, Sibu, Miri, Bintulu, Kota Samarahan, Bau, Limbang, Maradong, Serian, Sarikei, Kapit, Saratok, Sri Aman, Lawas, Matu Daro, Lundu dan Song.

“Daripada 67 serbuan itu, 12 serbuan melibatkan judi dalam talian, jual nombor loteri haram (50), judi di tempat terbuka (3) dan masing-masing satu serbuan di rumah serta gelanggang sabung ayam. 

“Polis turut merampas wang tunai RM16,559 disyaki hasil perjudian haram, 22 unit telefon dan tablet serta kertas pertaruhan yang digunakan untuk menjalankan jenayah tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Denis memberitahu, susulan pembukaan Bilik Gerakan Khas bagi membanteras kegiatan perjudian haram di negeri ini, pihaknya telah menerima 25 maklumat mengenai aktiviti jenayah tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 23 daripada 25 maklumat yang diterima adalah tepat yang membawa kepada kejayaan serbuan dan tangkapan serta rampasan yang dilakukan, manakala dua lagi sedang dalam proses risikan.-UTUSAN ONLINE