Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam ketika mangsa yang merupakan pejalan kaki, Yeo Kue Toh, 70, melintas jalan dari arah Tengkera menuju ke Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Polis sedang mengesan kenderaan yang melanggar mangsa kerana pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang serpihan kesan kemalangan itu.

"Kita percaya mangsa dilanggar ketika cuba melintas jalan dan diseret berikutan selipar yang dipakainya dijumpai kira-kira 40 meter dari kedudukan mayat," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta orang ramai yang ternampak kejadian itu untuk membantu siasatan dengan hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE