Mangsa, Joriah Ahmad, 65, yang tinggal seorang diri di rumah tersebut dijumpai oleh dua kanak-kanak yang merupakan anak jirannya kira-kira pukul 5 petang.

Berikutan kejadian itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai mempunyai pertalian saudara dengan mangsa ditahan polis kira-kira dua jam selepas kejadian.

Ketua Polis daerah, Superintenden Noorzainy Mohd. Noor berkata, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di bahagian tengah rumah oleh kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan kakaknya berusia 11 tahun.

“Dua kanak-kanak itu pergi ke rumah mangsa kerana mahu memulangkan payung milik mangsa yang dipinjam ibu mereka tiga hari lalu. Mereka masuk ke dalam rumah selepas mangsa tidak menjawab selepas beberapa kali mereka memberi salam.

“Kanak-kanak tersebut terpe­ranjat apabila mendapati mangsa terbaring dan berlumuran darah,” katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, dua kanak-kanak itu bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka yang menghubungi Balai Polis Rompin.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia dengan kesan kelar berukuran 16 senti­meter di lehernya. Beliau berkata, telefon bimbit dan te­levisyen milik wanita itu juga didapati hilang.

“Hasil siasatan lanjut, polis telah menahan suspek yang dipercayai mengenali mangsa berhampiran lokasi kejadian dan menemukan sebilah pisau yang digunakan untuk membunuhnya di tepi rumah tersebut,” tambahnya.

Menurutnya, suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jenazah mang­sa telah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baru Rompin petang ini.