Mangsa, Abdul Karim Mohd. Alias, 67, ditikam kira-kira pukul 12.05 tengah hari ini ketika beratur di kaunter pembayaran di kedai itu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, kejadian berpunca selepas mangsa menegur suspek berusia 53 tahun yang melanggarnya sehingga jatuh dan memotong barisan untuk membuat pembayaran.

"Akibat daripada teguran itu, suspek terus mencederakan mangsa dengan menggunakan senjata tajam yang diambil di kedai tersebut di bahagian leher mangsa.

"Suspek kemudian terus melarikan diri dari kedai itu," katanya di sini hari ini.

Amran berkata, anggota polis bertugas berjaya mengesan suspek di belakang Bank Islam di Jalan Bandar Pekan dalam keadaan sedang memegang sebilah pisau di tangannya.

Katanya, anggota polis tersebut berjaya memujuk suspek untuk menyerahkan pisaunya dan menahan lelaki berkenaan sebelum dibawa ke Balai Polis Pekan untuk tindakan selanjutnya.

"Mangsa kini berada di wad kecemasan Hospital Pekan dan masih menerima rawatan oleh pegawai perubatan hospital.

"Makluman awal keadaan mangsa didapati terdapat kecederaan luka di bahu sebelah kanan, luka di bawah dagu dan luka di tengkuk belakangnya," katanya.

Katanya, suspek dipercayai seorang Lelaki kurang siuman dan mempunyai rekod perubatan berkait masalah mental dan selalu dilihat belegar-legar di dalam bandar Pekan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE