Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Asiah Kassim, 71, sedang memasak apabila secara tiba-tiba didatangi dua lelaki tidak dikenali yang mendakwa mahu memeriksa tong gas.

Menceritakan kejadian itu, cucu mangsa, Mohd. Arifarhan Roslani, 26, memberitahu, secara tiba-tiba salah seorang suspek mengacukan pisau dan menutup mulut Asiah dengan kain, selain menumbuk mulut dan kepala bagi memaksa mangsa menyerahkan wang tunai serta barang kemas.

“Bimbang penjenayah bertindak lebih ganas, nenek terpaksa menyerahkan wang tunai RM380 dan sejumlah barang kemas jenis zhulian kepada penjenayah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Arifarhan, kedua-dua lelaki itu kemudiannya melarikan diri dengan kereta jenis Proton.

Katanya, selepas kejadian samun tersebut, mangsa terus pergi ke rumah salah seorang anaknya di Bagan Nakhoda Omar bagi memaklumkan insiden tersebut kepada ahli keluarga.

“Selepas itu, saya bawa dan temankan nenek buat laporan polis di Balai Polis Sungai Air Tawar sebelum membawanya ke klinik bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

- UTUSAN ONLINE