Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kerajaan memandang serius perkara itu kerana dikhuatiri pelancong yang masuk telah menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, Malaysia seperti negara lain turut menggunakan Notis Penolakan Masuk atau Not To Land Notice (NTL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/63 di semua pintu masuk ke negara ini.

“Mereka yang masuk menggunakan pas lawatan sosial itu dipercayai berada atau menetap di sini walaupun tempoh lawatan telah berakhir. Kerajaan memandang serius perkara ini bagi mengelak aspek keselamatan negara terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat kaunter Jabatan Imigresen dan bilik menunggu sementara bagi individu yang dikenakan NTL di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azis, pada tahun lalu, sebanyak 85,946 warga asing dikenakan NTL atas pelbagai faktor seperti tidak mempunyai tiket pulang, tidak mempunyai wang yang mencukupi selain faktor-faktor keselamatan yang lain.

Daripada jumlah itu katanya, warga Indonesia merupakan individu teramai yang dikenakan NTL pada tahun lalu iaitu sebanyak 43, 870 orang diikuti warga India sebanyak 12,858 orang dan warga China sebanyak 8,119 orang. - UTUSAN ONLINE