Ketika serbuan di sebuah unit pangsapuri di Lebuh Sungai Pinang, Georgetown itu, wanita berkenaan ditemukan bersembunyi di dalam rumah berkenaan yang turut dihuni beberapa penduduk tempatan dan warga asing lain.

Menurut Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri, Kholijah Mohamad, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya mendapat laporan daripada orang awam berhubung kehadiran warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral di pangsapuri berkenaan.

Hasil serbuan di unit itu, katanya, pihaknya turut memeriksa seramai dua lelaki rakyat tempatan; lima wanita warga Vietnam dan seorang lelaki serta tiga wanita warga Thailand.

“Bagaimanapun, hanya seorang wanita warga Vietnam ditahan dalam operasi itu kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah yang mana kita percaya dia dibawa masuk ke negara ini dengan diuruskan oleh sindiket pasport terbang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kholijah, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sindiket terlibat yang membawa masuk warga asing itu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar kedaulatan negara.

Sementara itu, tambahnya, dalam operasi di pangsapuri sama, seramai dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pencuci disitu turut ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.

Katanya, ketiga-tiga tangkapan terbabit dibawa ke pusat tahanan di sini untuk siasatan lanjut kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - UTUSAN ONLINE