Dalam kejadian pada pukul 1.48 petang, wanita terbabit yang tidak memiliki dokumen perjalananan sah dipercayai mula membakar tilam dalam rumah berkenaan sebelum merebak ke ruangan lain.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu dipercayai baru tiba dari ibu negara dan mahu tinggal bersama-sama rakannya di rumah terbabit serta ingin bekerja di daerah ini.

"Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pada mulanya dimaklumkan penghuni rumah berdekatan bahawa terdapat seorang wanita berada dalam rumah itu sebelum berjaya menyelamatkannya.

"Walau bagaimanapun, suspek mendedahkan dan mengaku telah membakar rumah tersebut dan dia meminta untuk dihantar ke balai polis," katanya, di sini sebentar tadi.

Abdul Wahib berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian termasuk sedang mengesan rakan lelakinya untuk diambil keterangan.

"Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1953," ujarnya.

Tambah beliau, siasatan awal pihak bomba mendapati kebakaran kira-kira 80 peratus kediaman itu dipercayai bermula daripada tilam di ruang tamu rumah berdasarkan besi katil yang telah bengkok akibat terlalu lama terdedah kepada api. - UTUSAN ONLINE