Tertuduh, Lopatkina Klavdiia, 24, dilihat menangis sejurus Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadapnya yang turut ditemani seorang wanita dipercayai ibunya.

Mengikut pertuduhan, Lopatkina yang mengandung sebulan ketika ditahan, didakwa mengedar dadah jenis kokain seberat 1.5 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, jam 11 pagi pada 31 Disember 2015.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hujung tahun lalu, wanita itu dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi namun pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan sebelum tertuduh diperintah membela diri.

Sementara itu, dalam penghakimannya pagi ini, Abdul Wahab berkata, tertuduh sepatutnya mempunyai masa untuk melihat dua bungkusan plastik yang dibawanya dari Dubai menuju ke Kuala Lumpur seterusnya ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, tertuduh seolah-olah dilihat 'menutup mata' untuk mengetahui kandungan yang dibawanya sedangkan dia mempunyai masa yang panjang untuk berbuat demikian.

“Tertuduh juga tidak mengambil peluang itu untuk melihat kandungan bungkusan yang didakwa mengandungi coklat yang dibawanya itu,” katanya.

Lopatkina yang melahirkan anak perempuan ketika di dalam penjara, diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Low Huey manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naizatul Zima Tajudin. – UTUSAN ONLINE