Akibat tikaman itu, mangsa yang juga pekerja kilang berusia 28 tahun mengalami luka sedalam hampir enam sentimeter (cm) di bahagian pinggang sebelah kanannya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 23 tahun itu menyerang mangsa dengan menggunakan pisau dapur.

Katanya, ketika kejadian, seorang lagi rakan sebilik mereka yang juga saksi kejadian sedang tidur di bilik sebelah.

“Saksi kemudian terdengar jeritan mangsa meminta tolong sebelum meluru masuk ke dalam bilik dan melihat suspek masih memegang pisau serta mahu menyerang mangsa buat kali kedua.

“Bagaimanapun, dia (saksi) berjaya menghalang perbuatan suspek dan segera mengejarkan mangsa ke Hospital Pantai sebelum dirujuk kepada Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ujar Anbalagan, suspek bagaimanapun diberkas beberapa jam kemudian bagi membantu siasatan dan dibawa ke lokasi kejadian untuk rampasan barang kes.

“Setakat ini, polis percaya kejadian tersebut berpunca daripada cemburu. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya yang memberitahu, suspek yang juga seorang penganggur itu kini direman hingga 3 Jun ini.

Tambahnya, suspek dan mangsa dipercayai telah mengenali antara satu sama lain sejak hampir dua tahun lalu.-UTUSAN ONLINE